Presiden FAM Juga Mahu Apa Yang Penyokong Mahu
Saya berasa sangat istimewa dan bertuah kerana menjadi salah seorang daripada penyokong yang dapat bersama Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam sesi dialog antara baginda bersama penyokong bola sepak tanah air di The Saujana Hotel KL, beberapa hari lalu.
Sejak permulaan sesi lagi, para penyokong yang hadir sudah “dikejutkan” dengan tindakan Tunku Ismail dalam nada bergurau tetapi mengarahkan semua bodyguard, pembantu serta Ahli EXCO FAM supaya keluar dari dewan. Baginda bertitah ini adalah masa untuk baginda bersama penyokong dan yang lain tidak boleh menggangu waktu tersebut. Lebih menarik, Tunku Ismail mengajak semua penyokong supaya mengangkat kerusi daripada tempat asal dan duduk lebih dekat di sekeliling baginda dalam keadaan santai.
Saya terkejut! Ianya seolah-olah satu sesi antara seorang penceramah bersama pendengarnya dan bukannya antara penyokong bola sepak tanah air yang selama ini entah ada ke tidak pihak yang sudi mendengar keluhan, masalah serta ketidakpuasan hati kami. Tapi realitinya hari itu kami duduk bersama Tunku Presiden FAM, berbincang bersama tentang masalah bola sepak tanah air tanpa protokol yang tidak menyenangkan.
Sikap tunku yang sanggup melayan dan menjawab semua soalan tanpa ada tapisan daripada mana-mana pihak adalah membuktikan baginda benar-benar ingin berkongsi segalanya dengan penyokong. Bagaimana cara baginda melayan penyokong pada sesi tersebut menunjukkan bagaimana Tunku Ismail adalah seorang Presiden yang sangat menghargai serta menghormati penyokong serta inginkan idea-idea untuk mengubah landskap bola sepak negara.
Antara tajuk yang dikupas adalah sikap pemain kebangsaan yang tidak ada sikap “winning mentality”. Baginda sendiri menunjukkan screenshot daripada telefon bimbit mengenai ada pemain bertanyakan mengenai bonus dan elaun kemenangan pasukan kebangsaan. Tambah mengejutkan, sama ada itu adalah gurauan atau serius, pemain itu berkata dia tidak mahu bermain jika tidak menerima ganjaran. Itu antara topik awal yang dibincangkan.
Selepas itu, Tunku Ismail turut mendedahkan bagaimana sikap dan tindakan segelintir pemain senior dimana mereka menjadi batu api kepada pemain muda meningkat naik. Contohnya, jika ada jurulatih yang menggunakan latihan yang keras, pemain senior akan mengapi-apikan pemain muda untuk tidak mengikut arahan yang diberikan jurulatih itu yang akhirnya membawa kepada kemerosotan pasukan dan prestasi pasukan sehinggalah jurulatih tersebut disingkirkan.
Dalam sesi yang berlangsung selama dua jam itu, baginda turut menceritakan mengenai kejayaan Johor Darul Takzim dalam tempoh masa yang singkat. Selaku penyokong bola sepak kelab lain, saya juga pastilah kurang gemar apabila JDT seringkali menjadi contoh pasukan yang disebut oleh baginda. Tetapi apabila saya berfikir secara logik dan realiti, benar apa yang diperkatakan oleh Tunku Ismail.
Mereka yang bekerja untuk JDT adalah orang-orang yang benar-benar mahu melihat kejayaan JDT tanpa ada apa-apa tujuan lain. Sebab itulah, baginda tidak keseorangan di JDT dan diharapkan perkara sama juga berlaku dalam FAM. Oleh sebab itu jugalah, baginda mahukan penyokong sentiasa bersama baginda, kita mempunyai tujuan yang serupa untuk melihat Malaysia di pentas tertinggi. Sedarlah ia memerlukan pengorbanan, cara yang betul, wang ringgit, dan masa.
Saya yakin bukan saya seorang sahaja pasti kecewa dan berasa rugi sekiranya tekanan daripada penyokong bakal menyebabkan kita hilang seseorang yang berada di tempat yang betul. Selaku penyokong, kita kena sedar adalah mustahil untuk kita melihat kejayaan Malaysia dalam tempoh masa singkat dengan apa yang kita miliki sekarang. Sabar! masa itu akan tiba kerana kita sedang memiliki orang yang sepatutnya sedang duduk di atas kerusi Presiden FAM.
Menyentuh soal pembangunan, Tunku Ismail mencadangkan supaya jurulatih-jurulatih di peringkat akar umbi mestilah mereka yang mempunyai kelulusan serta kepakaran untuk mencari bakat yang betul-betul mampu membawa kejayaan kepada bola sepak negara pada masa akan datang. Tiada lagi sistem tradisional! Baginda mahukan pemain-pemain cilik diasah dengan betul dan mengikut cara yang sepatutnya dalam dunia bola sepak moden kerana merekalah modal yang kita ada untuk masa depan bola sepak. Inilah satu cabaran, adakah kita mampu melakukannya?
Banyak lagi diperkatakan dalam sesi tersebut tetapi apa yang penting, kita perlu segera sedar orang pertama yang selalu dihentam apabila pasukan bola sepak negara tewas adalah orang yang sedang bertungkus lumus mengubah bola sepak negara. Baginda juga bertitah mengatakan satu hari nanti, baginda pastinya akan meninggalkan kerusi Presiden FAM tetapi sebelum baginda pergi dari kerusi itu, biarlah orang yang meneruskan kepimpinan tahu apa perlu dilaksanakan mengikut apa yang sudah disusun baginda. Tetapi dalam otak saya berfikir, siapakah yang layak selain Tunku Ismail bagi meneruskan impian kita melihat Malaysia di level sepatutnya.
Kebanyakan penyokong bola sepak tanah air yang berbunyi di dalam media sosial mungkin hanya mengenali baginda dari internet. Bagi saya, itu tidak menggambarkan siapakah Presiden FAM yang sebenar. Jika mempunyai peluang, rajin-rajinlah hadir sekiranya baginda mengadakan sesi dengan penyokong dan kita akan tahu kenapa penyokong JDT sangat sayangkan Tunku Ismail. Sebagai penyokong, saya yakin dan pasti kita memiliki seorang pemimpin bola sepak yang mampu merealisasikan impian kita. Tidak cukup dan tidak adil untuk menilai baginda hanya daripada kaca laptop, tak kenal maka tak cintalah kita kepada baginda. Itulah Presiden FAM kita, baginda mahu apa yang kita mahu!