Great Eastern Viper Challenge Uji Peserta di Shah Alam
Great Eastern Viper Challenge sekali lagi menguji ribuan peserta pada hari Sabtu lalu. Kali ini Stadium Shah Alam menjadi gelanggang bagi peserta untuk membuktikan kemampuan mereka melepasi pelbagai rintangan sukar yang disediakan.
Selepas Pulau Pinang, Johor, dan Genting Highlands, venue "merah kuning" merupakan venue keempat yang dijelajahi oleh Viper Challenge. Kali ini, cuaca gelap dan hujan renyai-renyai adalah antara halangan tambahan kepada para peserta.
Kumpulan pertama dilepaskan pada pukul 6 petang. Seterusnya kelompok kedua dilepaskan setengah jam kemudian sehinggalah kumpulan terakhir dilepaskan pada 3.30 pagi. Keadaan gelap dan hujan tidak menjadi masalah untuk peserta merasai pengalaman mencabar ini.
YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir melepaskan peserta kira-kira pada pukul 9 malam. Turut bersama belia adalah Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, YB Elizabeth Wong. Selain itu Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din serta wakil daripada Great Eastern Life Assurance Berhad juga berada di lokasi permulaan.
Azmin turut mengalu-alukan untuk memasukkan Viper Challenge untuk dimuatkan dalam kalendar pelancongan tahunan negeri. Baginya, acara seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan negara tetapi mampu mendidik gaya hidup sihat kepada masyarakat.
Enam halangan baru (Splitter, Rope Crossing, Traverse Ladder, Suffering Ring, Flying Monkey dan Reach Around), juga diperkenalkan kepada para peserta. Mereka perlu melalui 15 halangan kesemuanya dalam jarak kira-kira 7km sebelum tiba di garisan akhir.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Great Eastern Life, Dato Koh Yaw Hui berkata, “Great Eastern Life sentiasa komited mahu memberi inspirasi kepada masyarakat khususnya golongan muda untuk menjaga kesihatan. Acara seperti ini memberikan peluang terbaik kepada mereka untuk merasai pengalaman yang mencabar serta mendidik peserta untuk bekerjasama secara berpasukan sambil melakukan aktiviti yang menyihatkan”.
Para pengunjung dan peserta Viper Challnge juga disajikan dengan persembahan bunga api yang cantik di langit gelap pada malam itu. Di samping itu, Gerai Great Eastern LIVE GREAT juga menyediakan khidmat cetakan foto percuma untuk dirakamkan sebagai kenangan.
Selepas ini, para peminat Viper Challenge masih mempunyai peluang mengambil bahagian dalam acara final ini yang bakal diadakan di Cyberjaya pada Disember nanti. Ayuh cuba sesuatu yang baru. Lupakan rasa takut, jadikan ia sesuatu yang mengujakan!