top of page

Kejayaan Malaysian Tigers Julang Jenama TNB Di Persada Antarabangsa

KUALA LUMPUR (30, Mac 2017): Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang juga merupakan penaja utama pasukan hoki negara melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian pasukan kebangsaan lantaran kejayaan mereka menjuarai Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh beberapa minggu lalu.


Pasukan kebangsaan cemerlang untuk menempatkan diri ke Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia selepas ini apabila bangkit menewaskan China 5-3 menerusi penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi final.


TNB bukan sahaja menaja pasukan kebangsaan malahan beberapa pemain daripada skuad TNB dan TNB Thuderbolts yang beraksi dalam Liga Premier TNBMHL turut membarisi pasukan negara itu.


Mereka masing-masing adalah tiga pemain dari TNB iaitu Faiz Helmi Jali, Muhammad Shahril Saabah, dan pemain muda, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi. Sementara seorang pemain dari program TNB Thunderbolts yang terpilih mewakili skuad utama negara adalah Mohd Hairi Abdul Rahman.


Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin B. Mohd Amin berkata TNB begitu gembira melihat prestasi pasukan hoki kebangsaan ketika ini yang turut membawa jenama syarikat utiliti elektrik terbesar negara.


Aminuddin berkata, “Sudah tentulah sebagai penaja pasukan kebangsaan, TNB merasakan kejayaan pasukan hoki negara menjuarai Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia baru-baru ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan kerana pasukan negara turut membawa jenama TNB yang terpapar di jersi pada mereka di peringkat global.


“Saya berharap pasukan hoki akan terus mengharumkan nama negara selepas ini dengan mempamerkan aksi garang di pusingan seterusnya sekaligus mencapai sasaran utama pasukan itu,” kata Aminuddin ketika dihubungi.


Tambah Aminuddin lagi, TNB sentiasa memberikan sokongan penuh kepada sukan hoki negara melalui kerjasama kukuh antara TNB dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). Dia juga berharap sokongan daripada TNB ini akan terus membantu memantapkan sukan hoki negara.


“Saya harap kejayaan pasukan negara ketika ini dapat menjadi contoh terbaik untuk pasukan program di bawah TNB seperti Thunderbolts untuk mengikut jejak langkah mereka apabila menjadi tonggak utama negara pada masa depan,” ujar Aminuddin lagi.


Pasukan negara di bawah kendalian Stephen Van Huizen kini berpeluang cerah untuk mara ke Piala Dunia selepas berjaya melayakkan diri ke pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang dijadualkan bakal berlangsung di London, England atau di Johannesburg, Afrika Selatan selepas ini.


TRENDING
VIRAL | UMUM | SEMASA
HIBURAN
SUKAN
TEKNOLOGI
bottom of page