Maksud Persona Non Grata, Duta Korea Utara Diusir Dari Malaysia
Ramai yang tertanya-tanya apakah maksud sebenar Persona Non Grata. Perkataan yang jarang digunakan ini muncul sebulan selepas isu pembunuhan Jong Nam yang hangat diperdebatkan kebelakangan ini.
Persona Non Grata merupakan satu istilah Undang-undang Antarabangsa sebagai suatu tindakan penolakan terhadap perutusan/perwakilan Diplomatik oleh suatu negara di Negara penempatan Perwakilan diplomatik. Ini yang terjadi kepada Duta Korea Utara di Malaysia iaitu Kang Chol.
Terdapat beberapa sebab seseorang wakil diplomatik itu boleh dikenakan Persona Non Grata iaitu:
Negara penerima (Malaysia) merasakan pejabat Diplomatik (Korea Utara) bermasalah.
Tindakan dan aktiviti yang dilakukan pejabat kedutaan bersifat politik dan subversif yang merugikan kepentingan negara dan mengganggu kedaulatan negara penerima.
Tindakan dan aktiviti yang dilakukan melanggar undang-undang negara penerima.
Adanya tindakan yang boleh mengganggu kestabilan dan keselamatan negara penerima seperti kegiatan perisikan atau operasi tanpa pengetahuan negara penerima.
Sekecil mana pun tindakan bermasalah yang dilakukan oleh perwakilan diplomatik, Persona Non Grata merupakan hak negara penerima terbabit.
Keputusan Wisma Putra hari ini mengeluarkan perintah kepada Duta Korea Utara, Kang Chol untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam adalah disebabkan kegagalan Kang Chol menghadirkan diri ke Wisma Putra di Putrajaya.
Mengikut laporan The Star, Wisma Putra telah menghantar nota kepada kedutaan Korea Utara berhubung keputusan tersebut. Kerajaan Malaysia turut menuntut permohonan maaf dari Korea Utara di atas tuduhan berhubung pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam.
Sumber : Sinar Harian | Bernama | Civils