Jangan Buat 5 Perkara Ini Ketika Memandu Diwaktu Hujan
Memandangkan cuaca sekarang yang kerap kali hujan tidak kira pagi, petang ataupun malam, terdapat 5 perkara yang dilarang untuk anda lakukan semasa memandu di dalam hujan. Artikel ini diolah semula daripada perkongsian saudara Piznur Johari di laman Facebook nya.
1. Jangan memandu terlalu rapat dengan kenderaan dihadapan serta memandu dalam keadaan laju. Kelajuan maksimum yang disarankan adalah sekitar 80-100 km/j. Permukaan jalan yang licin menyukarkan anda mengawal kenderaan dan mengurangkan keberkesanan anda sewaktu membrek.
Tujuan untuk anda menjarakkan kenderaan pula adalah jika berlaku sebarang kecemasan kepada kereta dihadapan, anda menpunyai jarak yang selamat untuk menukar lorong dengan mudah.
2. Jangan menganggap yang kenderaan lain nampak kenderaan anda lebih-lebih lagi sewaktu hujan lebat. Jadi nyalakan lampu kecil atau lampu kabus (fog lamp) sewaktu hujan renyai dan nyalakan lampu besar sewaktu hujan lebat. Mudah bagi mereka yang mempunyai DRL (Daytime Running Light) pada kenderaan mereka.
Ini memudahkan pemandu lain mengesan kedudukan anda. Untuk mereka yang rabun atau silau, kereta yang menyalakan lampu amat membantu menyedarkan pemandu lain akan kewujudan kenderaan anda di atas jalan raya. Kadang-kadang, warna kereta juga mempengaruhi penglihatan pemandu lain.
3. Jangan berada terlalu rapat dengan kenderaan disebelah dan menukar lorong dengan sesuka hati. Bertimbang rasalah dengan penunggang motosikal. Sewaktu hujan, kebanyakan penunggang motosikal mempunyai penglihatan yang terhad kerana visor yang basah.
Jika anda menghimpit atau menukar lorong secara sesuka hati, berkemungkinan besar penunggang motosikal tidak sempat membrek. Berilah mereka ruang untuk mencelah diantara kereta (Dah sedap duduk dalam kereta berbumbung siap aircond, takkan la susah sangat nak bagi laluan kepada pengguna motosikal kan?)
4. Jangan melanggar lopak air atau air yang bertakung diatas jalanraya. Jikalau anda tidak berhati-hati, kemungkinan besar kenderaan anda akan mengalami hydroplanning. Hydroplanning ini akan menyebabkan kenderaan anda seolah-olah terapung diatas jalan raya dan boleh menyebabkan kenderaan anda tidak stabil.
Selain itu, jika anda melanggar lopak air, air tersebut akan terpercik mengenai penunggang motosikal atau kenderaan lebih kecil yang berada di jalan yang sama. Apabila cermin depan dipenuhi air secara tiba-tiba dan penglihatan pemandu menjadi hampir kepada 0, mereka akan membrek secara mengejut.
Jika air terkena kepada penunggang motorsikal pula, kemungkinan besar anda akan di maki hamun itu tinggi kerana 'pedajal' mereka. Jikalau mereka mengelak pula, kemungkinan untuk melanggar kenderaan lain adalah tinggi. Jadi bertimbang rasalah sedikit.
5. Jangan buka Hazard Light (Lampu Kecemasan) sewaktu hujan lebih-lebih lagi jikalau hujan lebat. Ini akan mengelirukan dan menyukarkan pemandu lain untuk meneka lorong mana yang akan anda tukar samaada kiri atau kanan? Sudah memadai jika anda buka hanya lampu besar kerana lampu belakang turut akan menyala.
Jikalau anda mempunyai lampu kabus dibelakang atau lampu ketiga (Selalunya berwarna merah tiga segi), gunakan lampu itu dan jangan sesekali menggunakan Hazard Light!
Kesemua ulasan ini berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pemandu dan penunggang motorsikal. Saya rasa ini antara beberapa langkah yang perlu dipraktikkan oleh masyarakat di Malaysia untuk mengelakkan kemalangan dan menjamin keselamatan pengguna jalanraya yang lain.
Pelik juga semasa hujan ada sahaja kemalangan sedangkan majoriti kenderaan membawa kenderaan mereka dengan perlahan. Jadi 5 perkara diatas perlu dielakkan supaya anda tidak menjadi punca kemalangan.
"Utamakan Keselamatan, Ingatlah Orang Yang Tersayang"
Mesej ini dibawakan khas oleh pemandu dan penunggang Myvi JDM serta motorsikal Honda RS150. Olahan semula dibuat oleh Ex - Safety Officer Lebuhraya Pantai Timur 1.
Sumber: Facebook Piznur Johari