Misteri Kehilangan Raja Sutera Thai Di Cameron Highland
Ramai diantara kita yang pernah ke Cameron Highland atau sekurang-kurangnya pernah menjejakkan kaki sekali seumur hidup disana. Tetapi tidak ramai yang tahu mengenai misteri kehilangan Raja Sutera Thai di Cameron Highland.
Sebelum saya berkongsi tentang cerita kehilangan yang sangat misteri ini, mari kita kenali sedikit siapakah Raja Sutera Thai. James H.W. Thompson merupakan seorang warga Amerika Syarikat yang dilahirkan pada 21 March 1906.
Beliau sangat terkenal dengan jolokan nama Thai Silk King kerana berjaya menghidupkan kembali perdagangan sutera di Thailand yang ketika itu sedang suram sekitar tahun 1940an -1950an. Ya! memang benar Raja Sutera Thai adalah seorang warganegara Amerika Syarikat dan bukannya Thailand.
Pada 26 March 1967, Jim Thompson telah dilaporkan hilang di Cameron Highland tanpa sebarang jejak. Lebih 118 orang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat namum masih tidak menemui beliau. Pelbagai teori kehilangan beliau telah tersebar meluas tetapi tidak dapat disahkan kesahihannya sehingga kini.
Teori 1 : Jim Thompson Agen CIA
Menurut beberapa sumber, kemungkinan besar Jim Thompson merupakan seorang Agen CIA yang menghilangkan diri selepas misinya selesai. Ini kerana semasa zaman mudanya, beliau pernah berkhidmat sebagai tentera Amerika Syarikat dalam bahagian OSS (Office of Strategic Services).
Jim Thompson dikatakan telah dihantar ke Thailand bagi mencampuri urusan politik dalam kerajaan Thailand. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Jim Thompson merupakan Double Agent bagi pihak Amerika & China.
Beliau ditugaskan untuk menaikkan kembali perdagangan sutera China dan turut telibat dalam konflik peperangan di Vietnam. Namun begitu, kebanyakan pakar penyiasatan menepis dakwaan ini kerana kekurangan bukti yang jelas.
Teori 2 : Jim Thompson dilanggar oleh seorang Tokey Ladang Sayur.
Teori atau kisah ini cukup popular di kalangan penduduk Cameron Highland. Seorang pengurus sebuah resort di Cameron Highland merupakan pendengar pertama akan kisah ini.
Pengurus terbabit mengatakan dia mendengar sendiri pengakuan seorang tokey ladang dimana tokey ladang tersebut telah melanggar seorang lelaki mat saleh berkulit putih pada hari kehilangan Jim Thompson dilaporkan.
Tokey ladang yang berada dalam keadaan ketakutan itu kemudiannya menanam mayat tersebut di sebuah kubur tidak bertanda kerana takut akan didakwa oleh pihak berkuasa.
Tokey ladang tersebut meninggal dunia beberapa minggu selepas membuat pengakuan ini dan tidak secara tepat berkongsi lokasi dimana mayat Jim Thomson ditanam. Sekali lagi misteri kehilangan ini menemui jalan buntu.
Teori 3 : Jim Thompson diculik & dibawa ke Kemboja
Teori ini adalah berdasarkan kajian seorang penyiasat persendirian. Menurutnya, disebabkan status Jim Thompson sebagai salah seorang ahli perniagaan terkaya dan berpengaruh di Asia, beliau telah diculik dan dibawa lari ke Kemboja.
Motif penculikan yang turut dinyatakan oleh penyiasat terbabit adalah bagi memperoleh maklumat-maklumat perniagaan serta mendapatkan sumber kekayaan Jim Thompson.
Akan tetapi, berdasarkan gabungan-gabungan hasil penyiasatan tersebut, terdapat beberapa kemuskilan timbul seperti pengangkutan untuk membawa lari Jim Thompson, tempat-tempat beliau singgah semasa dilarikan dan sebagainya.
Misteri kehilangan Raja Sutera Thai ini sebenarnya mempunyai lebih dari puluhan kisah dan teori yang semuanya tidak berpenghujung. Ada yang mengatakan beliau disorok makhluk halus, dilanggar lori balak dan mayatnya dihapuskan di kilang kayu dan banyak lagi.
Jikalau anda ingin mengetahui lebih banyak berkenaan kisah misteri kehilangan Jim Thompson, anda boleh melawati Time Tunnel Muzium yang bertempat di Brinchang, Cameron Highland. Mereka ada memaparkan artikel-artikel berkaitan kehilangan misteri ini.